Saturday, July 24, 2010

Pencapaian UPM Diiktiraf Antarabangsa-Tan Sri Nayan

Pro canselor,Tan Sri Dato’ Dr. Nayan Ariffin menyampaikan ijazah kepada graduan pada

Majlis Konvokesyen UPM ke-33 .


SERDANG – Semua pengiktirafan terhadap Universiti Putra Malaysia (UPM)

memperlihatkan kewibawaan universiti untuk meneroka potensi dan bidang baru pada tahap

yang lebih mendalam seterusnya membuktikan kemampuan UPM muncul sebagai destinasi

pendidikan dan penyelidikan antarabangsa.

Pro-Canselor UPM, Tan Sri Dato’ Dr. Nayan Ariffin berkata bukti kewibawaan UPM telah

ditonjolkan melalui kejayaan dalam bidang akademik, penyelidikan mahupun kokurikulum

oleh warga UPM sendiri.

“Antara kejayaan yang membanggakan adalah kejayaan Dr. M. Iqbal Saripan yang

mencipta komponen baharu dalam pengimejan perubatan nuklear, iaitu Pengkolimat

Jaringan Wayar yang boleh meningkatkan sensitiviti mesin sedia ada untuk mengesan sel

kanser pada peringkat lebih awal dan ini merupakan inovasi baru dalam bidang perubatan

kanser,” katanya ketika memberi ucapan dan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah GSM,

Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma kepada 855 graduan di Majlis

Konvokesyen Ke-33 UPM pada sesi tiga di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian

Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.

Beliau berkata kejayaan lain adalah Pengarah Institut Penyelidikan Halal UPM, Prof. Dr.

Yaakob Che Man yang telah diiktiraf sebagai saintis pertama menerima Anugerah Saintis

Halal di ‘World Halal Research Summit 2009’ dan kejayaan Kumpulan Penyelidikan dan

Pembangunan Kejuruteraan Perladangan Persis (PREFERD) UPM yang diketuai oleh Prof.

Madya Dr. Abdul Rashid Mohamed Shariff mencipta perisian Sistem Sokongan Keputusan

Spatial.

Dr. Nayan berkata peserta tunggal negara, Mohd. Syamsul Salleh dari UPM telah berjaya

mengharumkan nama Malaysia apabila menjadi juara pertandingan Pidato Antarabangsa

Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri, kejayaan dua atlet UPM membolot

anugerah sukan Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia pada

tahun lepas, iaitu Mohd Robani Hassan dan Roslinda Samsu serta atlet memanah UPM

yang turut memenangi Anugerah Khas MASUM dan kejayaan UPM muncul johan pada

Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam

merupakan kejayaan yang mendokong kewibawaan UPM di persada kecemerlangan.

“UPM merupakan institusi rujukan komuniti akademik, agensi kerajaan dan swasta

berdasarkan latar belakang kejayaan UPM yang telah diperolehi dari semasa ke semasa

sama ada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.

Beliau turut memuji inisiatif UPM menganjurkan Persidangan Pemikiran Antarabangsa Kali

Ke-14 yang telah menghimpunkan lebih 250 pemakalah yang terdiri daripada pemikir,

aktivis dan individu berminda inovatif, kreatif dan kritis dari seluruh pelosok dunia.

“Kehadiran tokoh-tokoh pemikir seperti Edward De Bono, Tony Buzan, Howard Gardner

dan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membantu usaha UPM untuk merealisasikan

pemikiran inovatif, amalan dan pertimbangan yang terbaik serta praktikal dalam setiap

aspek kehidupan untuk menggemilangkan kehidupan masyarakat serta memajukan ekonomi

negara.

“Saya berharap usaha murni ini dapat diteruskan dan berupaya diterjemahkan secara

praktikal oleh para graduan dan alumni UPM kerana kejayaan persidangan tersebut turut

diakui oleh Jawatankuasa Antarabangsa Persidangan. Justeru, saya sangat berharap

kejayaan ini tidak disia-siakan,” katanya.

Pada sesi kedua (petang) tersebut Dr.Nayan turut menyampaikan anugerah Profesor

Emeritus kepada Dato’ Ir. Dr. Muhamad Zohadie Bardaie yang telah banyak menabur bakti

kepada UPM dan negara terutamanya sebagai Naib Canselor UPM sebelum ini.






No comments: