Wednesday, September 12, 2012

Pilih Calon Yang Tepat - TNC HEPA


KUALA LUMPUR 9 Sept. - Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang sentiasa memperjuangkan isu-isu ke arah mengembangkan potensi mahasiswa seiring dengan visi universiti dan negara menjadi pilihan warga kampus.


Sehubungan itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, kepimpinan MPP yang menyokong dasar universiti digalakkan bukan sahaja membicarakan mengenai hal kebajikan sebaliknya turut mengetengahkan isu-isu yang bersifat global.

"Pemilihan mereka dalam badan kepimpinan MPP berperanan menjalankan tanggungjawab membantu pembangunan universiti. "Bukan itu sahaja, mereka juga perlu sentiasa menyumbang idea-idea bernas untuk kebaikan warga kampus sekali gus membantu kepimpinan negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pilihan raya kampus bagi memilih kepimpinan baru MPP bagi sesi 2012-2013 yang akan diadakan pada 20 hingga 25 September ini. Pemilihan itu melibatkan 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara membabitkan pertandingan antara kumpulan proaspirasi dan promahasiswa.

Mohd. Fauzi berkata, universiti tidak mahu melahirkan pemimpin yang hanya menyuarakan rasa tidak puas hati semata-mata sebaliknya harus memperjuangkan dan menyokong pembangunan universiti. Menurutnya, pemilihan kepimpinan MPP perlu menolak ideologi pemikiran individu dan kumpulan tertentu yang mempunyai agenda politik di peringkat universiti.

 "Mereka perlu menolak kumpulan ini yang cuba menghasut mahasiswa dengan berdemontrasi dalam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran dan pembangunan universiti."Mereka juga perlu berdiri teguh dengan kepimpinan universiti dan berganding bahu serta bergerak aktif bagi membantu pihak universiti," katanya.

No comments: