Thursday, July 29, 2010

PENGLIBATAN MAHASISWA DALAM POLITIK LUAR KAMPUS

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara (KSN) telah mengumumkan bahawa guru siswazah diberi peluang untuk melibatkan diri dalam politik di Malaysia ini. Secara tiba-tiba timbul pula suara-suara yang mencadangkan golongan mahasiswa turut diberi peluang sebebas-bebasnya untuk terlibat dalam aktiviti politik di luar kampus. Kita tidak tahu selepas ini golongan masyarakat mana pula yang akan dicadangkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti politik.

Apa yang ingin ditegaskan disini ialah adakah wajar dengan memberi peluang kepada mahasiswa untuk terlibat dalam parti politik di luar kampus? Adakah dengan memberi peluang ini, maka mahasiswa barulah layak dikatakan sebagai bebas bersuara dan berpendapat? Bagi kami yang masih bergelar mahasiswa ini ada jawapan kepada frasa-frasa tersebut.

Sebagai seorang mahasiswa, kami berpendapat bahawa adalah TIDAK TEPAT sama sekali pendapat yang mengatakan bahawa untuk membuktikan kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa, maka haruslah diberi peluang kepada mahasiswa untuk terlibat secara langsung dengan politik di luar kampus. Bagi kami sebagai mahasiswa merasakan sekiranya golongan mahasiswa yang rata-ratanya berumur awal 20-an ini terlibat secara langsung dalam parti politik, maka hak dan suara kami hanyalah seperti ‘anjing menyalak bukit’ iaitu sekadar untuk menyukupkan korum atau simbol kebebasan bersuara. Sedangkan hakikatnya golongan mahasiswa yang rata-rata masih muda, junior dan mentah ini tidak boleh sama sekali menyatakan idea atau kata-kata yang bertentangan dengan dasar parti dan kehendak senior2 di dalam parti. Sekiranya kami bertindak sedemikian, kami yakin bahawa dengan mudahnya kami golongan mahasiswa ini akan digantung keahlian atau terus di buang daripada parti. Jadi, dimanakah kebebasan bersuara yang dicanangkan?

Senario kini, melihatkan perpecahan dalam masyarakat mengikut bendera parti. Ramai ahli masyarakat yang tidak bertegur sapa, tidak pergi solat atau kenduri sekiranya berlainan parti dan macam-macam lagi. Jadi, adakah masyarakat ingin melihat perkara-perkara ini diserap masuk ke dalam dunia kampus? Jika orang dewasa pun boleh berpecah mengikut warna parti, inikan pula kami warga mahasiswa yang masih cetek ilmu dan pengalaman di dada.

Kini, golongan mahasiswa sudah banyak dibebani dengan pelbagai tanggungjawab sebagai pelajar IPT. Malah, masa kami cukup terhad dek kerana pelbagai aktiviti luar kelas dan tanggungjawab yang pelbagai. Adakah masyarakat di luar sana ingin melihat bebanan dan tanggungjawab kami terus terbeban sekiranya mahasiswa diberi ruang untuk berpolitik? Dalam masa kini pun masih ramai yang tidak cukup masa dan tidak memperoleh kelulusan cemerlang dalam peperiksaan, ini nak ditambah lagi dengan tanggungan berpolitik di luar yang sudah semestinya menuntut partisipasi yang menyeluruh untuk sesuatu aktiviti parti.

Bagi kami, berpolitik bukanlah satu-satunya medan untuk memupuk kemahiran mahasiswa. Banyak lagi program yang jauh lebih baik daripada menyertai politik dalam membentuk kemahiran kami seperti program jalinan masyarakat, khidmat sosial dan keusahawanan. Cukuplah sekarang mahasiswa ‘disemakkan’ oleh pelbagai hiburan, budaya couple dan lain-lain yang kesemuanya member ‘godaan’ untuk mahasiswa belajar. Janganlah ditambah dengan aktiviti politik yang akhirnya akan memakan atau menyerap masuk ke alam kampus jua jika mahasiswa diberi peluang.

Kepada yang telah dewasa dan Berjaya dalam pengajian di universiti dan kehidupan, diharap hentikanlah dalam mengemukakan idea-idea yang akhirnya akan ditanggung oleh kami sendiri dan bukan kalian yang akan tanggung segala kesannya. Sebagai mahasiswa yang sedar, kami berjanji bahawa selepas 3 atau 4 tahun pengajian di universiti, kami akan menceburi bidang politik secara serius. Tetapi, berilah kami ruang dan masa untuk kami menghabiskan dulu pengajian di universiti agar cita-cita kami dan ibubapa kami tercapai.

No comments: